BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, July 26, 2010

TAKSONOMI DAN DOMAIN

Taksonomi ialah kajian tentang prinsip, peraturan, dan amalan dalam pengelasan organisma berdasarkan persamaan dan perbezaaan sifat organisma itu. [Kamus Dewan Edisi Keempat (2005)]. Dalam bidang pendidikan, taksonomi ialah satu model yang biasa digunakan untuk menganalisa bidang-bidang pendidikan. Ia berkaitan dengan objektif-objektif pendidikan yang melibatkan bidang-bidang seperti pengetahuan, kesikapan dan psikomotor. Terdapat tiga domain utama dalam pendidikan iaitu:

(a) Domain Kognitif

Melibatkan perkembangan pemikiran pelajar

(b) Domain Afektif

Melibatkan perkembangan sikap dan nilai pelajar

(c) Domain Psikomotor

Melibatkan perkembangan kemahiran fizikal pelajar.

TAKSONOMI BLOOM

Taksonomi Bloom menitikberatkan aspek kognitif atau pengetahuan. Ia bercorak hierarki (tahap rendah ke tahap tinggi). Guru akan membuat soalan pelbagai aras untuk menguji tahap berfikir pelajar. Kebanyakan ujian di dalam bilik darjah adalah bertujuan untuk mengetahui tahap kognitif pelajar sahaja. Menurut Benjamin S. Bloom, aras kognitif boleh dibahagikan kepada 6 tahap, iaitu Pengetahuan, Kefahaman, Penggunaan, Analisis, Sintesis dan Penilaian.

DOMAIN KRATHWOHL

Krathwohl mengkategorikan domain afektif sebagai terdiri daripada; penerimaan (receiving), tindak-balas (responding), menilai (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set), dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterizing by value complex).

Merupakan bidang berhubung dengan perasaan, emosi dan sikap. Guru harus berkebolehan menggunakan unsur afektif untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang baik. Pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan dengan adanya murid yang dapat membentuk sikap positif.

i) PENERIMAAN

Berhubung dengan kemahuan pelajar untuk memberi perhatian. Tindakan pelajar mencerminkan satu kesedaran atau perhatian terhadap ransangan dan peristiwa atau persekitaran yang berhubung dengan domain afektif. Konteks pengajaran menekankan kepada kebolehan mendengar, menanyakan soalan, mengenal bahagian-bahagian ayat dan menjawab dengan lengkap. Terdapat tiga perkara berhubung dengan aras ini iaitu:

(a) Kesedaran - pelajar dikatakan sedar dengan objek atau peristiwa jika berlaku semasa kehadiran mereka.

(b) Kesudian untuk menerima - sesuatu pengajaran harus disampaikan di dalam satu suasana atau keadaan yang bermakna dan menarik.

(c) Perhatian yang terkawal atau terpilih – pelajar membezakan keseluruhan keadaan kepada 2 bahagian atau kepada bahagian-bahagian komponen dan kemudian memilih satu daripada aspek tertentu dan terus memberi perhatian

ii) GERAK BALAS

Melibatkan diri secara aktif terhadap sesuatu dan mendapat kepuasan daripadanya. Pada aras ini, pelajar bersedia dan rela untuk membuat reaksi yang mudah terhadap sesuatu objek atau situasi.

iii) MENILAI

Pada peringkat ini perlakuan adalah didasarkan atas konsep dan prinsip yang telah dinuranikan sehingga menjadi kepercayaan. Perlakuan cenderung menjadi konsisten walaupun dalam keadaan yang berbeza jika kepercayaan itu boleh dipratikkan.

iv) ORGANISASI

Membawa maksud membentuk sesuatu sistem nilai. Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan. Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya.

Monday, July 5, 2010

KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN


PENTAKSIRAN

Definisi / Konsep

Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan.

Dari konteks pendidikan pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.

PENGUJIAN

Definisi / Konsep

Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.

Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970)

“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.

Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:

“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.

(Raminah 1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru


PENILAIAN

Definisi / Konsep

Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.